Saturday, August 10, 2013

Jambatan Kedua, Asrama Inderapura dan KIPSAS

Jambatan Kedua, Asrama Inderapura dan KIPSAS

11 Ogos 2013

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya ingin mengimbau kembali kenangan manis masa lalu.

Tahun 1970 bermulanya satu usaha kerajaan Pahang menubuhkan Asrama Inderapura. Fungsinya menempatkan pelajar yang lulus SPM tetapi tidak berpeluang belajar di tingkatan enam sekolah kerajaan. Ketika itu sekolah yang menawar pengajian tingkatan enam hanya SMART dan SABS. Pelajar yang gagal SPM juga diberi peluang. Oleh kerana hanya ada satu bangunan sahaja, maka pelajar lelaki sahaja yang diberi peluang. Mereka mengikuti pelajaran SPM atau STPM pada waktu petang dan malam. Pada waktu pagi mereka belajar sendiri. Mereka mendapat makan minum dan tempat tinggal percuma. Belajar juga percuma. Alangkah untungnya mereka.

Guru yang mengajar di situ adalah guru yang terpilih dari SMART, SABS dan sekolah sekitar bandar Kuantan. Memang usaha itu memberi pulangan yang membanggakan. Ramai pelajarnya yang berjaya lulus STPM dan SPM dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Asrama Inderapura adalah Jambatan Kedua ke universiti malah membina masa hadapan yang gemilang kepada anak-anak Pahang ketika itu. Antara mereka yang berjaya melalui jambatan itu seperti Dato’ Lias bin Mohd Nor, saudara Rokbi bin Abu samah, saudara Awang Sulong, Dato’ Mohamad bin Ubaidullah, Dato’ Hamid bin Abu Bakar dan ramai lagi.

Beberapa tahun kemudian asrama itu ditutup dan bangunannya diambil oleh IKIP Kubang Buaya. Jambatan Kedua tetap meninggalkan kenangan manis walaupun usianya hanya hanya beberapa tahun sahaja. Ideanya baik dan dilaksanakan secara berkesan memang memberi hasil yang lumayan. Hasilnya ialah modal insan! Mereka yang pernah berada di Asrama Inderapura mengatakan wordan garang bernama Abu Hassan sangat besar jasanya. Abu Hassan sangat menekankan aspek displin.

Saya ingin memakai idea ini. Walaupun kita telah melangkah lebih 40 tahun ke hadapan, pelajar yang gagal masih ramai. Mereka yang gagal itu datangnya dari keluarga yang susah, ada masalah yang mereka tidak mampu hadapi.

Walaupun saya tidak melintas melalui jambatan kedua itu namun saya amat kagum dengan idea dan penubuhannya. Saya percaya, jika kita adakan peluang yang bagus pasti ada manfaatnya!

Saya petik kata-kata saudara Awang Sulong bin Ahmad  dan Ismail Ibrahim dalam komennya di fb saya,

Awang Sulang:

 "Saya pun sempat duduk 3 bulan thn 1970...masuk ykt 6B .....lepas tu masuk UKM bersama Datuk Lias Mohd Nor......thn tu result STPM Inderapura dapat kalahkan SMART.Keluaran Inderapura ni hebat juga...antaranya Dato Lias Mohd Nor,Dato Mohammad Ubaidullah,Dato Abd Rahman Hamid,Dato Abd Wahid Manap,Dato' Abd Rahim Abbas.....teringat bila buat perjumpaan bekas pelajar Inderapura,ckgu Abu Hassan Shukur,bekas warden....isterinya berpesan "jangan buat macam dulu,sebab sekarang ni bekas pelajar tu ramai yg bergelar Dato'.......masa di Inderapura(sekarang IKIP)kami jadi ank emas SUK...semua free,pastu dapat duit kocek....pegi sembahyang Jumaat naik bas SUK.....cikgu yg mengajar terpilih drp SMART dan SABS....pagi study sendiri,ptg baru belajar......"

Ismail Ibrahim;
 
 "Alhamdulillah...asrama inderapura tlh memberi peluang kedua kepada sya n pelajar2 Spm thn 1986 yg gagal utk mencuba kali kedua. Pelajar2nya terdiri anak2 jati phg dan ianya terhad. Waktu belajar hya sebelah mlm dan hari minggu shj krna tenaga pengajarnya tdr dr guru2 sklah Smart & Sabs. Terima kasih cikgu & warden asrama msa tu"

KIPSAS mahu membina semula jambatan ala Jambatan Kedua itu. Inilah satu rancangan khidmat sumbangan kami kepada anak Pahang. KIPSAS fokuskan kepada penyelesaian satu masalah sahaja. KIPSAS telah memutuskan mahu mengumpulkan sekumpulan pelajar yang gagal Matematik SPM. Mereka akan mengikuti sesi belajar/ulangkaji/ bimbingan Matematik. Seterusnya kami mahu memberi peluang kepada mereka menduduki sekali lagi SPM dengan harapan akan dapat kepujian atau cemerlang dalam mata pelajaran Matematik. Mereka juga akan mengikuti pelajaran Agama Islam. Kelulusan cemelang atau kepujian Matematik sangat berguna. Boleh menyambung pelajaran dan sebagai sokongan kuat untuk mendapat pekerjaan. Mereka diberi peluang menyambung pelajaran peringkat diploma di KIPSAS.

Namun begitu KIPSAS memerlukan rakan untuk membina Jambatan Kedua itu kerana belanjanya besar juga.

Kami sedang menyusun langkah. Naib Presiden Pentadbiran & Kewangan, unit promosi, pensyarah jabatan ICT, pegawai Anjung KIPSAS dan pegawai kaunseling ditugaskan menterjemahkan idea ini.

Jika semua persediaan berjalan lancar, insyAllah Disember 2013 ini akan bermulalah satu usaha baru kami. Kami bercadang melaksanakan program ini selama tiga tahun hingga tahun 2016.

Langkah awal;
1. Mengadakan mesyuarat awal untuk menulis kertas kerjanya.
2. Mesyuarat ajk pembinaan modul bersama guru matematik yang berpengalaman.
3. Tinjauan mengenalpasti bidang kelemahan umum pelajar. 
4. Mencari rakan kongsi, penaja, bakal penyumbang dan guru kaunseling.
5. Membuat hebahan kepada bekas pelajar yang telah mengambil SPM tahun lalau.
6. Menyediakan kemudahan penginapan dan tempat belajar.
7. Melantik guru pembimbing fasilitator.
8. Mengiklankan jawatan fasilitator kepada pelajar tingkatan lima yang cemerlang dan berkebolehan membimbing dari SBP atau SRK Pahang.

Matlamat;
Pelajar masuk dengan keputusan gagal akan pulang dengan keputusan Kepujian Matematik. Pengetahuan dan amalan Agama lebih baik.
Pelajar masuk dengan keputusan lulus akan pulang dengan keputusan cemerlang Matematik. Pengetahuan dan amalan Agama lebih baik.
Ini adalah satu pelan tindakan strategik KIPSAS untuk tempoh tiga tahun 2013 - 2016.

Terima kasih.








 

4 comments:

  1. Saya salah seorg produk jambatan kedua itu ..walaupun terpilih ke SMART melalui pemilihan kedua (second intake) tapi Inderapura menjadi pilihan saya. Dari 35 org pelajar yg mengambil STP pada tahun 1972..seramai 30 org layak ke university. Saya salah seorg yg mendapat penampar Cikgu Abu Hassan kerana keluar bandar tanpa kebenaran...tapi saya amat menghormati beliau hingga skrg...saya dah jadi "org" ..yang gagal 5 orang itu pun akhir nya juga memasuki university termasuk Dr Shahrom mantan ahli Parlimen Lipis . Syukur kpd Allah dan terima kasih Inderapura dari kamu bekas pelajarnya.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih saudara Norrahman Mohamed info yang sangat berguna. Besar jasa cikgu Abu Hassan ye

    ReplyDelete
  3. Saya juga salah seorang produk jambatan kedua ....sama masuk dengan Norrahman Mohammed,Dato'Mohd Ubaidullah pada tahun 1971.Masa tu Dato' Lias Mohd Nor jadi presiden Inderapura dan Insp Zahudi naib presiden,S/Usaha Insp Rokbi Abu Samah.Antara peristiwa yang paling diingati ialahkami disoal siasat oleh IPD sebab mengadakan perarakan mengelilingi Kuantan Garden semasa minggu orientasi.Saya ditugaskan membawa bendera Pahang.....masa tu tidak dibenarkan ada perhimpuna dan perarakan sbb selepas peristiwa 13 Mei.....yang teruk disoal siasat ialah Insp Rokbi dan Insp Zahudi sbb mereka adalah AJK induk orientasi...yg lucunya mereka kemudian memasuki perkhidmatan polis.Cikgu Abu Hassan memang ditakuti masa tu....Syukur kepada Allah dan terima kasih Inderapura drp kami bekas pelajarnya.

    ReplyDelete